Menyedari masih terdapat banyak bakat muda yang wajar diberi peluang kedua pada pasaran ekonomi negara, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini memaklumkan pihaknya akan meneruskan inisiatif intervensi sosial menerusi Program Rakan Muda. Dengan meluaskan peluang bakat TVET berkaitan sukan kepada kumpulan banduan belia.
Kesepakatan bersama Jabatan Belia dan Sukan Negara serta Jabatan Penjara Malaysia ini diperincikan akan memberi latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal & Vokasional (TVET) dalam bidang perkhidmatan kedi kepada banduan berusia 18 sehingga 30 tahun. Untuk peringkat awal, prospek Penjara Kajang akan terlibat bagi memenuhi keperluan sumber tenaga pada sektor industri golf di Malaysia.
Menerusi lanjutan usaha itu, program tersebut akan membantu para peserta meraih pekerjaan dan menjalani kehidupan yang lebih baik setelah tempoh tahanan tamat. Malah peluang menyambung pengajian dalam bidang TVET Sukan menerusi latihan kemahiran sepenuh masa di Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG) turut disertakan.
Pada usaha ini, ia sekaligus meluaskan peluang kedua dan membantu kumpulan ini membina persepsi positif akan bakat mereka bersama masyarakat negara.