Sekiranya tahun 2023, dunia perlukan sekurangan 131 tahun kini jangkaan tersebut semakin meningkat kepada 134 tahun lagi – kepada usaha negara dalam merapatkan jurang perbezaan antara jantina. Tidak sekadar segmen ekonomi, bahkan kesihatan, pendidikan dan sosial.
Pengamatan di bawah Indeks Jurang Gender Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang diterbitkan Jun lalu – turut memperlihatkan kedudukan Malaysia semakin menurun kepada 114 berbanding negara serantau lain. Kejatuhan ini didorong akan aspek pemerkasaan politik dikedudukan ke 134, disusuli penyertaan dan peluang ekonomi (102), dan kelangsungan hidup serta kesihatan (80). Namun berbeza pula dengan capaian pendidikan – Malaysia berjaya memaparkan kedudukan pertama bersama 27 negara lain.
Melihat pada tempoh yang lebih lama untuk merapatkan jurang tersebut, biarpun pelbagai pasaran buruh mula meluaskan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi namun penawaran gaji yang lebih rendah dilihat terus berlaku. Ini termasuklah peningkatan gaji yang lebih perlahan disebabkan komitmen wanita terikat pada tanggungjawab keluarga dan cuti kecemasan.
Secara menyeluruh, untuk rantau Asia Tenggara ketika ini jurang perbezaan jantina kini diparas 63.7% dengan Malaysia memperlihatkan 56.2% penyertaan wanita dalam pasaran ekonomi (2023) – di mana angka ini masih tidak mencapai sasaran 60% yang ditetapkan pentadbiran negara.
Maka bagi merealisasikan matlamat tersebut, Malaysia sewajarnya meneliti kekangan yang didepani kumpulan wanita selain memperkasakan ketidakseimbangan gaji serta kuota pengambilan pekerja. Antara lain adalah meningkatkan sokongan kebajikan terutama buat kumpulan wanita yang telah berkeluarga – misalnya dengan menambahbaik sokongan kebajikan dan moral, perbaharui dasar keluarga, meningkatkan infrastruktur kemudahan penjagaan kanak-kanak pada kadar berpatutan dan menambahbaik sokongan perundangan untuk lindungi hak wanita.