Selari dengan pengamatan dunia, yang menjangkakan teknologi kecerdasan buatan (AI) berupaya meningkatkan kecekapan pasaran pekerjaan – Malaysia kini menyasarkan sejumlah 500,000 pekerjaan berasaskan AI dapat diwujudkan, merentasi pelbagai sektor dalam tempoh 6 tahun mendatang.
Pembangunan peluang pekerjaan baharu ini menurut Persatuan Peranti Berhubung (IoT) Malaysia memerlukan kemahiran tertentu dan latihan yang bersesuaian. Antaranya penerapan program pensijilan komprehensif AI yang pertama iaitu Certified AI Accelerator, Engineer, Scientist, and Leadership Programme bersama SG TVET Group dan United States AI Institute (USAII) yang kini dilancarkan di negara bersama sokongan Kementerian Digital.
Pelaksanaan pengiktirafan tersebut menjadi sebahagian usaha buat Malaysia dalam memacu matlamat ketersediaan AI di pasaran, di mana ia turut diselaraskan dengan Piawaian Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) yang menjadi sebahagian penilaian akan kecekapan selaku pekerja mahir di Malaysia.
Lebih menarik, program ini turut menyertakan penglibatan lebih 10 syarikat terkemuka dengan menawarkan jaminan penempatan kerjaya buat pelajar terlibat setelah sesi pengajian tamat.