Artikel

AKPK Perkenal Siri GROW – Mahu Bebaskan Rakyat Malaysia Daripada Jerat Kewangan

Bersempena bulan literasi kewangan tahun ini, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) kini tampil dengan siri pendidikan ekonomi bagi menambah-baik pengetahuan urusan kewangan kalangan rakyat Malaysia. Siri GROW ini dimaklumkan menampilkan 4 terbitan sumber rujukan.

Ianya meliputi  pendedahan pengetahuan, kenalpasti potensi, mengoptimumkan sumber dan pengaturan kekayaan di hari tua.

Menerusi siri tersebut, AKPK ingin memperkasakan masyarakat dengan pengetahuan tentang simpanan, belanjawan, nilai bersih dan skor kredit yang sihat. Diikuti membimbing pekerja muda berkenaan mengurus pinjaman dan kad kredit, membina dana kecemasan dan mempelajari asas pelaburan. Seterusnya membimbing keluarga untuk memaksimumkan sumber kewangan mereka demi masa depan yang terjamin dan mampan melalui instrumen perlindungan dan pelaburan yang betul, manakala yang keempat memberikan panduan kepada bakal pesara tentang cara merancang persaraan, mengurus harta pusaka dan mengoptimumkan simpanan KWSP.

Seperti yang umum sedia maklum, masih terdapat lebih daripada separuh penduduk dewasa yang bekerja berdepan dengan kekangan simpanan susulan tekanan komitmen yang perlu dipenuhi. Lebih membimbangkan terdapat tinjauan menyimpulkan hanya 33% rakyat negara menyimpan lebih RM500 setiap sebulan sementara 53% pula bergantung sepenuhnya pada pendapatan mereka untuk komitmen bulanan.

Ini bermakna kapasiti menyimpan kalangan penduduk negara kekal terhad dan menunjukkan literasi kewangan masih lagi di paras yang rendah untuk membina status kewangan yang lebih baik pada pasaran semasa.