Artikel

Lebih 3.3 Juta Pemegang Lesen B1, B2 Layak Beralih Ke Lesen B Penuh – MOT

Seperti yang umum sedia maklum, sejak 1 Oktober lalu permohonan melibatkan peralihan lesen B Penuh (lesen motosikal berkuasa tinggi) telahpun dibuka buat rakyat negara – yang secara asasnya miliki lesen motosikal B1 dan B2 lebihi 10 tahun secara aktif.

Berdasarkan aturan itu, daripada 9.3 juta pemegang lesen B1 dan B2 – didapati seramai 3,328,603 pemegang lesen B1, B2 layak melaksanakan peralihan lesen tersebut bersama 139 institut memandu di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) ketika ini pihaknya telah menerima sebanyak 243 permohonan bagi pendaftaran Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) itu ke kelas B. Jumlah ini menurut MOT akan terus meningkat secara berkala kelak.

Meskipun kriteria permohonan telah ditambah-baik dan membuka lebih banyak peluang kepada pemegang B1 dan B2 untuk peralihan lesen ke B Penuh, namun MOT mengingatkan pemegang lesen terlibat untuk melunaskan sebarang tunggakan yang menyebabkan kelayakan mereka ditolak.

Ini antara syarat yang digariskan pada peralihan lesen ke B Penuh:

  • Merupakan pemegang lesen B1 dan B2, secara aktif iaitu minima 10 tahun
  • Bebas daripada senarai hitam mahupun tunggakan saman dan rekod kesalahan berat (Akta 333) – libatkan JPJ dan PDRM
  • Perlu menghadiri program peralihan motosikal berkuasa tinggi 500cc di institut memandu
  • Lalui tempoh amali pemanduan selama 2 jam dan caj RM160 program khas ini

Adanya pelaksanaan ini, MOT turut memberi peringatan tiada lagi penawaran lesen kelas B1 akan dibuka kepada orang ramai di institut memandu seluruh negara. Tindakan pemansuhan itu berikutan permintaan permohonan direkodkan lebih rendah pada setiap tahun.