Sekiranya awal tahun ini Bank Dunia menetapkan pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.3% – kini unjuran tersebut telah dinaikkan kepada 4.9% berikutan prestasi pasaran semasa dilihat lebih baik berbanding jangkaan 6 bulan lalu.
Semakan naik ini menurut kumpulan Bank Dunia pada sidang taklimat Tinjauan Ekonomi Malaysia pada Oktober 2024, antaranya didorong akan faktor domestik yang memaparkan momentum ekonomi yang positif diikuti kestabilan politik dan persekitaran dasar yang lebih seimbang. Sokongan ini secara langsung memacu lebih banyak kemasukan pelabur dan keyakinan pasaran akan kualiti hasil Malaysia.
Selain faktor domestik, status pertumbuhan global yang dijangka stabil bersama lingkungan prestasi 2.6% pada tahun ini juga turut membantu Malaysia dalam mengekalkan prestasi pertumbuhan semasa.
Secara menyeluruh, dalam kalangan pasaran sedang pesat membangun – diteliti Malaysia berada pada kedudukan yang baik. Selain keyakinan pengguna yang meningkat, pengukuhan segmen pembuatan dan prestasi perkhidmatan yang baik juga turut memacu pertumbuhan negara secara berkala.