Tatkala nilai prestasi e-dagang pasaran Asia Tenggara memaparkan potensi perkembangan kepada nilai $305 bilion menjelang 2029 – didapati medium media sosial dan kesan kumpulan pempengaruh ke atas pengguna di Malaysia dilihat lebih rendah, berbanding negara jiran yang lain.
Tinjauan Cube Asia bersama Impact pada laporan Pemasaran Pempengaruh E-Dagang di Asia Tenggara 2024 ini memperincikan, sejumlah 75% pengguna akui tabiat berbelanja mereka dipengaruhi cadangan yang dilaksanakan kumpulan pempengaruh pada pasaran negara. Kedudukan ini sekaligus menjadi peratusan kedua terendah selepas pasaran Singapura (67%).
Situasi ini berbeza dengan kumpulan pempengaruh di Vietnam yang berupaya memberi kesan ke atas perbelanjaan 90% pengguna e-dagang negara mereka, diikuti Indonesia (88%) dan Thailand (83%).
Mengikut perincian tabiat berbelanja di Malaysia, kategori produk yang sering dipengaruhi pempengaruh melibatkan produk fesyen (64%), kecantikan (61%) dan barangan dapur (39%). Lebih menarik antara kumpulan pempengaruh dan selebriti yang menjadi pilihan pengguna negara adalah Siti Nurhaliza, Wawa Zainal dan Khairul Aming.
Secara menyeluruh, pada pasaran Asia Tenggara – platform YouTube dan Facebook kekal menjadi peratusan terbesar pilihan pengguna dengan Malaysia memperlihatkan seramai 87% pengguna YouTube, sementara Facebook 80% dan TikTok pula 80%.