Artikel

Kesan Tekanan Kos, Hutang – Secara Puratanya Rakyat Malaysia Miliki Aset Kewangan Sekitar RM44,000

Penduduk Malaysia, secara amnya masih berdepan dengan kesukaran untuk memiliki aset kewangan bersih yang kukuh berikutan paras gaji yang masih rendah disusuli tekanan kos semasa dan kadar hutang isi rumah yang lebih tinggi.

Perihal ini dapat dilihat pada Laporan Kekayaan Global Allianz 2024, yang memperincikan Malaysia di kedudukan ke-40 bersama aset kewangan bersih per kapita iaitu lebih RM44,000 (EUR9,430).

Kedudukan ini secara jelas memaparkan kadar simpanan penduduk negara lebih kecil susulan paras hutang isi rumah kembali meningkat. Minggu lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan nisbah hutang isi rumah di Malaysia semakin meningkat kepada 83.8% biarpun kumpulan peminjam berisiko lebih tinggi telah menurun kepada 4.4%.

Jumlah aset kewangan ini ternyata memaparkan jurang yang berbeza dengan negara jiran Singapura – apabila didapati secara puratanya rakyat Singapura miliki aset kewangan sekitar RM800,000 dengan kedudukan ke-4 dalam carta global. Kedudukan itu secara menyeluruh mengatasi Taiwan (5), diikuti Jepun (14). Jelas laporan kemajuan status aset kewangan Singapura itu diimbangi akan penurunan nisbah hutang rakyat mereka kepada 54.1% setakat akhir 2023 lalu.

Berbalik kepada data aset kewangan Malaysia per kapita ini – kebanyakkan aset tersebut adalah disumbangkan hasil penyertaan pada dana insurans dan pencen, diikuti deposit dan sekuriti.