Artikel

Kedai Dobi, Tempat Kerja Jadi Antara Kawasan Larangan Merokok – Bermula 1 Januari 2025

Setelah menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), Malaysia kini terus optimis untuk mengurangkan kadar merokok dalam kalangan penduduk negara. Sasaran ini meliputi pengurangan prevalen penggunaan tembakaun konvensional kepada 15% dan ke bawah – menjelang Disember 2025.

Usaha ini menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kekal memiliki cabaran, di mana walaupun penggunaan tersebut telah menurun daripada 21.3% kepada 19% tetapi tinjauan lanjut perlu dilaksanakan berikutan berlakunya peralihan tabiat merokok konvensional kepada penggunaan vape.

Maka bagi mengukuhkan sasaran tersebut, KKM telah tampil dengan senarai 28 kawasan larangan merokok – di mana antaranya melibatkan bangunan tempat kerja dan kawasan dobi. Namun walaupun ia telah diwartakan tetapi tindakan penguatkuasaan hanya akan bermula selepas 1 Januari 2025 kelak. Berikutan itu, untuk premis yang terlibat – di maklumkanĀ segera mendapatkan tanda amaran larangan merokok dan meletakkan ia di premis anda untuk tindakan lanjut. Ini senarai penuh kawasan yang terlibat:

  • Pusat hiburan atau teater, kecuali kasino
  • Kawasan hospital atau klinik
  • Lif atau tandas awam
  • Tempat makan
  • Kedai berhawa dingin
  • Bangunan dobi
  • Bangunan hentian pengangkutan awam
  • Kawasan lapangan terbang kecuali kawasan atau bilik merokok yang telah diluluskan
  • Kawasan premis kerajaan
  • Bangunan Parlimen Malaysia
  • Mana-mana kawasan yang digunakan bagi apa-apa aktiviti perhimpunan sama ada di mana-mana tempat awam atau di dalam sesuatu bangunan selain bangunan kediaman atau persendirian
  • Kawasan institusi pendidikan atau institusi pendidikan tinggi
  • Kawasan taman asuhan kanak-kanak
  • Kaunter perkhidmatan awam
  • Kompleks membeli-belah
  • Kawasan stesen minyak
  • Bangunan stadium, pusat kecergasan atau gimnasium
  • Kawasan kompleks sukan
  • Bangunan atau tempat awam yang digunakan untuk tujuan keagamaan
  • Kawasan perpustakaan
  • Kafe internet
  • Kawasan tempat latihan khidmat negara
  • Bangunan tempat kerja
  • Kawasan rehat dan rawat kecuali tempat letak kereta awam terbuka
  • Kawasan taman awam kecuali tempat letak kereta awam terbuka
  • Menara cerapan, tapak perkhemahan, titian kanopi, dan lima meter dari laluan masuk atau keluar titian kanopi dalam taman negara atau taman negeri
  • Di dalam bas sekolah
  • Di dalam kenderaan awam

Selain aturan itu, KKM kini turut melaksanakan penguatkuasaan pendidikan bagi tempoh 6 hingga 12 bulan berkaitan isu tersebut dan kelak akan memperincikan aspek pendaftaran produk merokok yang dimaklumkan akan dikuatkuasakan pada 1 April 2025 kelak.

Secara menyeluruh, KKM menegaskan penjualan rokok sama sekali diharamkan di institusi pendidikan, pasaran jualan, atas talian mahupun di mesin layan diri. Termasuklah sebarang bentuk promosi produk merokok juga adalah dilarang. Sekiranya terdapat pihak berbuat demikian, tindakan perundangan akan dikenakan oleh pihak berkuasa.