Artikel

JAZRO Menerima Pelaburan Gobi Partners – Perluas Akses Pendidikan Robotik Buat Kanak-Kanak 

JAZRO, penyedia pendidikan robotik kepada kanak-kanak seawal 7 tahun kini dimaklumkan meraih pelaburan berjumlah RM1.2 juta daripada Gobi Partners melalui dana Gobi Dana Impak Ventures (GDIV) yang disokong bersama Khazanah Nasional.

Menerusi perolehan suntikan pelaburan tersebut, ia membolehkan JAZRO mengembangkan tawaran pendidikannya dan menjangkau lebih ramai pelajar muda dengan memupuk generasi baharu celik teknologi. Menurut pengasasnya Ir. Dzulfarqeish Zainuddin – setakat ini JAZRO memiliki lebih 50,000 pelajar meliputi operasi di Kerteh-Kuala Terengganu, Chukai dan Cyberjaya.

Lebih menarik tumpuan perkhidmatan turut dikembangkan kepada kumpulan yang memerlukan – ini meliputi tindakan pendidikan robotik yang disesuaikan khusus buat kanak-kanak autisme.

Buat pengetahuan umum, JAZRO antara empat startup pekerja yang diinkubasi di bawah PETRONAS Innovation Garage (PING), inkubator dalaman PETRONAS untuk pekerja mengembangkan idea menjadi syarikat permulaan yang boleh dilaburkan.