Artikel

Rakyat Malaysia Rugi $12.8 Bilion, Kesan Penipuan Atas Talian – Sepanjang 2024

Nilai kerugian $12.8 bilion ini untuk makluman adalah bersamaan dengan 3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berikutan semakin ramai rakyat negara berdepan isu penipuan atas talian (scam). Namun apa yang lebih membimbangkan, kerugian sebenar dianggarkan lebih tinggi susulan 70% mangsa didapati tidak melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.

Dapatan State of Scam 2024 di bawah Global Anti-Scam Alliance (GASA) ini memperincikan antara kaedah penipuan yang mendominasi adalah transaksi bank dan pembayaran secara atas talian, diikuti kad kredit dan dompet digital.

Tidak hanya itu, aktiviti scam pada tahun ini melalui teks dan SMS turut melonjak dengan peningkatan 8% berbanding tahun lalu. GASA melihat situasi ini membawa kesan kewangan yang tinggi – di mana purata kerugian bagi setiap mangsa dianggarkan sekitar $2,726 dan hanya 2% daripada mangsa sahaja dimaklumkan berjaya meraih semula dana mereka. Sementara 70% mangsa tidak berjaya dapatkan dana mereka, diikuti 25% lagi tidak pernah mencuba untuk dapatkannya.

Kesan situasi ini, 57% mangsa scam kini berdepan tekanan emosi yang tinggi, menjadikan peratusan itu lebih tinggi berbanding tahun lalu.