Artikel

Belanjawan 2025: Airbnb Galakkan Golongan Muda Sertai Aktiviti Sewa Jangka Pendek

Prestasi pelancongan negara dilihat terus rancak dengan pelbagai inisiatif pemulihan dilaksanakan. Menjadi sebahagian daripada usaha itu, Airbnb memaklukan kini operasinya telah menyumbang sekitar RM5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan menyokong hampir 57,000 pekerjaan dalam tempoh 12 bulan sehingga Mac 2023.

Melihat pada anggaran 4.9% sumbangan kepada pertumbuhan dalam sektor pelancongan – Airbnb kini mengusulkan beberapa langkah untuk pertimbangan pentadbiran bersempena sidang Belanjawan 2025 kelak. Antaranya memperkasakan golongan muda di Malaysia untuk miliki ruang dalam membeli rumah pertama mereka melalui aktiviti penginapan sewa jangka-pendek (STRA).

Akses sedemikian, secara langsung akan memberi alternatif dalam meringakan bebanan kos sara hidup, di samping meraih pendapatan tambahan. Pada masa yang sama, ia akan merancakkan lagi penawaran inap desa dalam sektor pelancongan negara.

Tidak hanya itu, Airbnb turut menuntut pengiktirafan ekonomi perkongsian dalam sektor hospitaliti. Ini kerana STRA juga menjadi antara pilihan penginapan dalam kalangan pelancong domestik dan luar negara. Maka adanya sokongan pada penggubalan garis panduan STRA ini dilihat berupaya memacukan lagi arena pelancongan negara di masa hadapan.

Diikuti melibatkan hos STRA dalam semua insentif utama sepertimana yang ditawarkan kepada penggiat pelancongan tradisional. Keperluan ini penting untuk memastikan semua penyedia penginapan meraih faedah yang sama tatkala memberi pulangan kepada ekonomi negara. Menerusi penawaran geran dan insentif perjalanan, ia berpotensi memacukan lagi ekonomi STRA dari aspek kualiti dan perkhidmatan.

Airbnb juga turut mengalukan pihak pentadbiran melaksanakan semakan semula ke atas Akta Industri Pelancongan 1992 (TIA) bagi menerima pakai peraturan yang seimbang, dalam meluaskan lagi pertumbuhan buat negara. Adanya pertimbangan pada setiap usul ini – ia berpotensi membantu sektor ekonomi perkongsian lebih keterdepan di pasaran tahun 2025.