Sektor kandungan digital dan kreatif sememangnya memiliki potensi yang besar untuk diperluaskan pada perkembangan ekonomi tempatan – untuk tahun 2022 sahaja ia telah berjaya merekodkan RM6.3 bilion pendapatan diikuti nilai eksport melibatkan RM850 juta.
Seiring dengan potensi tersebut, Kementerian Digital bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada sidang Malaysia Digital Content Festival (MyDCF ) Biz Day 2024 hari menyeru lebih ramai bakat muda untuk terus diketengahkan bagi meluaskan bakat negara pada pasaran yang lebih tinggi.
Malaysia ketika ini memiliki lebih 300 studio kandungan digital dengan mencipta lebih 180 harta intelek (IP) asli pada segmen animasi dan permainan negara.
Melihat pada perkembangan itu, Kementerian Digital menyasarkan akan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi tersedia pada pasaran negara kelak. Untuk makluman, setakat 2022 sahaja, sejumlah 11,000 pekerjaan telah berjaya disediakan hasil perluasan industri ini.
Buat pengetahuan umum, MyDCF Biz Day 2024 adalah sebuah platform yang menghimpunkan pelbagai variasi pemain kandungan digital dalam pasaran negara dan Asia Tenggara antaranya meliputi pembangun permainan, studio animasi, pencipta komik digital serta perintis dalam teknologi seperti metarverse dan VR.
Acara selama 3 hari ini untuk makluman memperlihatkan lebih 1,000 pemain industri terlibat. Tidak hanya Malaysia bahkan Korea Selatan, India, China, Jepun, Iran, Singapura, Thailand dan Filipina. Menerusi penyertaan bersama rakan industri serantau, ia akan meluaskan potensi perkembangan bakat tempatan di pasaran global.
Lebih menarik antara sorotan yang menjadi tumpuan adalah Anugerah SEA 2024 – di mana menjadi medium berprestij dalam mengiktiraf pencipta kandungan digital di rantau Asia Tenggara. Pada pengiktirafan itu, difahamkan lebih 300 penyertaan telah diraih MyDCF Biz Day 2024 daripada lebih 10 negara yang memaparkan keunikan kandungan kreatif digital mereka.