Artikel

Semua 2,000 Syarikat GLC Akan Diaudit Mulai Tahun 2025 – Jabatan Audit Negara

Selari dengan pindaan Akta Audit 1957 yang dilaksanakan pada Julai 2024 lalu bersama matlamat negara untuk menambah-baik amalan pengurusan operasi – Jabatan Audit Negara (JAN) kini memaklumkan, bermula tahun 2025 sekitar 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan berdepan tindakan audit.

Buat pengetahuan umum, sebelum kelulusan pindaan akta tersebut diraih – mana-mana syarikat kerajaan termasuk GLC perlu lalui proses pewartaan di Parlimen terlebih dahulu sebelum dibolehkan aturan audit dilaksanakan JAN. Bersama pindaan akta ini ia secara jelas meluaskan usaha dalam membentuk amalan pengurusan operasi yang lebih baik, telus di pasaran negara.

Langkah ini juga meliputi dapatan audit akan didigitalkan sepenuhnya pada tahun hadapan. Aturan tersebut menurut JAN akan direalisasikan bersama beberapa pihak berkepentingan.

Susulan agenda itu, JAN optimis bersama sokongan teknologi baharu – aspek kerahsiaan dan kepercayaan kumpulan data yang akan dilaksanakan akan terus dilindungi dengan parameter baharu. Maka sokongan ini menjelaskan tiada entiti GLC akan tertinggal di bawah pemantauan JAN.