Selari dengan pelaksanaan sidang Simposium Kebangsaan 2024 Menoktahkan Kemiskinan yang dilakukan pada hari ini – terdapat gambaran awal diberi, bahawa peruntukan subsidi bagi sektor pendidikan di negara melibatkan anak golongan kaya akan diteliti semula. Di mana ia berpotensi ditamatkan.
Isu tersebut menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan diberi keutamaan menjelang pembentangan sidang Belanjawan 2025 kelak – yang dijangka akan memberi kelebihan peruntukan kepada kumpulan memerlukan.
Antara makluman yang dikongsikan pada sidang simposium adalah terdapat beberapa ketirisan melibatkan subsidi dalam sektor pendidikan, ini meliputi kemasukan ke sekolah sains yang ditanggung oleh pentadbiran negara.
Hebahan awal ini sekaligus memberi cerminan, tumpuan utama pada sidang bajet mendatang akan menyantuni golongan berpendapatan rendah dan perluaskan lagi tindakan menghentikan kelebihan peruntukan buat golongan kaya.