Artikel

Sarawak Kini Pemegang Saham Terbesar Affin Bank – Miliki 31.25% Kepentingan

Sarawak kini secara rasminya menjadi pemegang saham terbesar Affin Bank, apabila kesepakatan hari ini menyaksikan pentadbiran negeri memiliki 31.25% pegangan menerusi perjanjian pembelian saham (SPA) yang dimeterai bersama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Bhd.

Usahasama yang dicapai melalui anak syarikat milik penuh kerajaan Sarawak, SGAssetfin Holdings Sdn Bhd ini secara langsung akan meluaskan lagi langkah strategik negeri pada platform kewangan di pasaran.

Sekadar imbasan, sebelum ini LTAT memiliki 28.88% kepentingan dalam Affin Bank, manakala Boustead, yang dimiliki sepenuhnya oleh LTAT, pula sekitar 20%.

Berikutan perkembangan pegangan itu, Sarawak memaklumkan Affin Bank akan memperluaskan kehadirannya di cawangan negeri kepada 14 cawangan menjelang suku pertama 2025 kelak. Buat masa ini, terdapat 6 cawangan tersedia di Sarawak.