Seperti yang dirangka oleh pentadbiran, hari ini fasa pertama Program Anak Kita dilancarkan – dengan memperlihatkan sejumlah 83,752 murid melibatkan 3,458 sekolah seluruh negara akan menerima manfaat.
Inisiatif di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan (MOF) ini merangkumi tiga pengisian iaitu Program 3M (membaca, mengira dan menulis), Program Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Program Murid Cicir.
Bagi fasa pertama untuk program 3M ini seramai 53,252 murid pemulihan khas tahun dua hingga enam daripada Johor, Perak, Selangor, Kelantan, Kedah, Sabah, Sarawak akan terlibat.
Diikuti program SPM pula melibatkan 10,000 murid Tingkatan 5 (SPM 2024) serta 20,000 pelajar Tingkatan 4 (SPM 2025). Manakala bagi Program Murid Cicir pula akan melibatkan 500 murid keciciran dari enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak.
Secara menyeluruh, aturan inisistif ini akan memiliki penanda aras tertentu bagi memastikan matlamat agenda pendidikan negara pada program ini tercapai dan membantu kumpulan pelajar meraih sokongan pendidikan yang baik demi masa hadapan mereka.