Biarpun masih terdapat lebih daripada separuh rakyat negara berdepan kekangan kapasiti untuk menyimpan wang, namun 47% daripada memaklumkan status kewangan mereka kini lebih baik berbanding tahun 2023. Prestasi ini antaranya didorong akan kesedaran kewangan bersama sokongan digital.
Menyentuh soal digitalisasi, Kajian Literasi Kewangan RinggitPlus 2024 (RMFLS2024) mendapati sekitar 45% rakyat negara melibatkan usia bermula 18 tahun ke atas kini merupakan pengguna bank digital. Pada peratusan itu, sekitar 27% sekurangnya memiliki satu akaun bank digital pada peranti mereka.
Angka ini jelas menunjukkan, penyertaan lima bank digital di Malaysia telah membantu rakyat negara meraih akses kewangan yang lebih baik pada pasaran semasa. Seperti yang umum ketahui terdapat kumpulan dinafikan hak perkhidmatan kewangan mereka susulan berstatus pekerja rencam dan tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan bank konvensional.
Lebih menarik juga, dapatan turut merekodkan sekitar 18% rakyat Malaysia kini memiliki lebih daripada 2 akaun bank digital. Antara bank digital yang menjadi pilihan mereka adalah melibatkan GXBank, Aeon Bank dan Boost Bank.
Angka pengguna bank digital kalangan penduduk dewasa bekerja di Malaysia ini dijangka akan terus melonjak – berikutan terdapat 26% responden menyatakan ketersediaan mereka untuk menjadi pengguna bank digital di masa hadapan kelak. Sementara 29% lagi kekal selesa dengan perkhidmatan perbankan semasa tanpa memerlukan khidmat bank digital.
Selain data ini, tinjauan turut dapati 57% penduduk dewasa Malaysia tidak memiliki kad kredit, diikuti 39% pula memiliki sehingga 3 kad kredit dan 4% pula memiliki lebih daripada 4 kad kredit untuk perbelanjaan semasa mereka.
Berdasarkan data itu, 53% pengguna kad kredit mengekalkan tahap kesejahteraan kewangan mereka dengan melunaskan bayaran penuh kad kredit pada setiap bulan. Tabiat ini memperincikan tahap kesedaran kewangan melibatkan tanggungjawab hutang kini kian meningkat kalangan rakyat negara.