Rentetan isu keciciran dalam sistem pendidikan negara semakin meruncing dengan lebih 122,000 pelajar darjah satu berdepan masalah membaca dan mengira – Kementerian Kewangan (MOF) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini memaklumkan akan melancarkan Program Anak Kita bagi memulihkan kembali segmen pembelajaran negara.
Program pemulihan yang akan dilancarkan pada Jumaat ini (27 September) diperincikan akan memperlihatkan penglibatan banyak pihak berkepentingan. Antaranya penyertaan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan selain syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Inisiatif tersebut tidak hanya menangani isu taraf hidup yang menjadi antara faktor kekangan pembelajaran kalangan pelajar terlibat tetapi turut meningkatkan lagi tumpuan pada fokus utama permasalahan melibatkan peningkatan literasi dan numerasi dalam kalangan pelajar sekolah rendah, diikuti mempertingkatkan kadar kelulusan SPM, dan mengintegrasikan semula pelajar yang tercicir kembali ke dalam sistem pendidikan.
Untuk pengetahuan umum, selain isu di peringkat sekolah rendah – negara tahun lalu mengikut statistik Lembaga Peperiksaan (LP), daripada 395,870 calon yang berdaftar, 10,160 atau 2.65% tidak hadir untuk peperiksaan ini.
Daripada jumlah pelajar yang menduduki pada tahun yang sama, 6.5% daripada jumlah calon, bersamaan dengan 25,735 pelajar tidak layak menerima sijil SPM mereka.
Maka menerusi aturan ini – ia sekaligus mengkukuhkan lagi komitmen negara dalam memperkasakan kualiti tahap pendidikan di Malaysia secara berkala. Lebih menarik kedua Kementerian turut memaklumkan sokongan digital turut akan disertakan bagi memperkasakan lagi pemulihan pembelajaran bersama pelajar yang terlibat.