Seiring dengan matlamat negara untuk menambah baik landskap pelaburan Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti (SC) kini tampilkan garis panduan melibatkan skim insentif pejabat kekayaan keluarga di Malaysia.
Buat yang masih keliru, skim ini adalah tindak-balas negara untuk tingkatkan minat perniagaan peringkat tinggi pada lokasi Forest City – iaitu lokasi Zon Kewangan Khas (SFZ). Tidak sekadar menjadi hab pilihan syarikat antarabangsa, lokasi ini turut terbuka kepada pejabat keluarga.
Pejabat keluarga merujuk kepada pertubuhan swasta yang ditubuhkan untuk mengurus kemewahan satu atau beberapa keluarga. Ia bertujuan menarik kumpulan kaya di pasaran tempatan dan rantau ini untuk menguruskan kekayaan keluarga dari Malaysia.
Di bawah skim ini menurut SC, ia akan menyediakan faedah untuk 10 tahun pertama dan lanjutan kepada 10 tahun seterusnya menerusi syarat-syarat tertentu. Maka untuk melayakkan perolehan faedah tersebut – pejabat kekayaan keluarga haruslah memenuhi kriteria yang ditetapkan. Antaranya pihak yang terlibat perlulah syarikat pemegangan pelaburan yang baru diperbadankan di Malaysia dan perlu lalui pra-pendaftaran bersama SC untuk penentuan kelayakan faedah cukai.
Tidak hanya itu, insentif ini adalah eksklusif buat kumpulan yang menubuhkan dan mengendalikan operasi pejabat berdaftar di Pulau 1, Forest City.
Selain itu, pejabat kekayaan keluarga perlu memiliki aset di bawah pengurusan (AUM) sekurangnya RM30 juta dan memenuhi pelaburan tempatan minimum sekurangnya 10% daripada AUM atau RM10 juta.
Kumpulan yang terlibat juga perlu laksana perbelanjaan mengurus (opex) tempatan libatkan RM500,000 setahun dan mengaji 2 pekerja sepenuh masa – di mana sekurangnya seorang petugas dalam skop profesional pelaburan bersama gaji bulanan minimum RM10,000.
Kriteria yang sama turut diperlukan ke atas syarikat pengurusan (SFO) yang berminat untuk menempatkan pejabat mereka di Forest City SFZ.
Seterusnya, untuk melanjutkan faedah bagi 10 tahun tambahan – SC menjelaskan pejabat perlu memeliki AUM sekurang-kurangnya RM50 juta dan penuhi pelaburan tempatan minimum dalam pelaburan yang layak sekitar 10% daripada aset AUM atau RM10 juta.
Ini bermakna jumlah perbelanjaan mengurus (opex) juga lebih tinggi, iaitu 30% lebih besar daripada angka untuk 10 tahun pertama iaitu dengan had minimum RM650,000 setahun.
Secara menyeluruh, adanya kerangka skim sedemikian ia berupaya mengalakkan lagi kemasukan pelabur untuk menguruskan kekayaan mereka di pasaran Malaysia.
Menerusi pengenalan skim ini, ia sekaligus menjadikan Forest City selaku lokasi pertama di negara yang menyediakan pelbagai tawaran menarik termasuklah penyediaan insentif cukai 0% untuk firma pengurusan individu kaya.