Artikel

Capital A Akan Laksana EGM – Untuk Lupus Perniagaan Penerbangan Kepada AirAsia X

Pada 14 Oktober kelak, Capital A akan melaksanakan mesyuarat agung luar (EGM) bersama pemegang saham utamanya bagi meraih kelulusan berhubung pelupusan perniagaan penerbangan kepada AirAsia X (AAX).

Langkah itu secara langsung akan memperkemaskan pertumbuhan operasi untuk jangka masa panjang dan memberi tumpuan perkembangan kepada segmen perniagaan yang lain.

Sekiranya kelulusan dapat dicapai pada Oktober kelak, ini akan memperlihat peralihan pegangan ekuiti Capital A dalam AirAsia Aviation Group (AAAGL) dan AirAsia Bhd (AAB) kepada AAX bersama nilai RM6.8 bilion.

Difahamkan pelupusan sedemikian akan dilaksana secara berhutang dengan membawa kepada nilai RM3.8 bilion. Di mana baki hutang Capital A perlu dijelaskan dalam tempoh setahun selepas peralihan peranan itu dimuktamadkan.

Menerusi pelupusan ini, ia turut akan membantu operasi merealisasikan matlamat utama kumpulan untuk keluar dari status Nota Amalan 17 (PN17).


PN17, atau Nota Amalan (Practice Note) 17/2005 adalah suatu aturan yang ditetapkan Bursa Malaysia terhadap kumpulan syarikat yang bermasalah dari aspek kewangan. Penyenaraian ini berisiko mengakibatkan sesebuah syarikat terkeluar daripada papan Bursa Malaysia. Secara ringkasnya, entiti berkaitan gagal memenuhi kriteria minimum yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia.

Untuk makluman ini antara ciri membawa kepada klasifikasi PN17;

  • Dana pemegang saham syarikat kurang daripada 25% daripada jumlah modal berbayar
  • Penerima telah dilantik untuk mengawal aset syarikat
  • Penggulungan beberapa anak syarikat mereka dan syarikat bersekutu
  • Juruaudit telah memberikan kenyataan negatif atau tidak seimbang tentang syarikat
  • Tidak patuhi faedah pinjaman dan pembayaran balik hutang syarikat
  • Syarikat telah menangguhkan atau menghentikan operasi
  • Syarikat tidak memiliki perniagaan ataupun operasi yang signifikan