Artikel

Pelancong Domestik Semakin Rancak, Didapati Berbelanja RM28.1 Bilion Di Malaysia

Suku kedua tahun ini memperlihatkan dinamik pelancong domestik semakin meningkat di Malaysia – dengan catatan 68.4 juta pelancong tempatan direkodkan pada tempoh tersebut. Jumlah itu sekaligus menunjukkan berlakunya lonjakan ketara 23.8% berbanding 3 bulan pertama 2024.

Berikutan pertambahan lebih ramai penduduk negara melancong di lokasi domestik, mengikut data Jabatan Perangkaan (DOSM) situasi ini turut membantu pertumbuhan perbelanjaan ekonomi di Malaysia. Di mana jumlah perbelanjaan pada suku kedua 2024 telah mencapai RM28.1 bilion, iaitu meningkat 28.6% secara tahunan.

Persekitaran ini secara langsung memberi kelebihan kepada perniagaan tempatan dan ekonomi pelancongan setempat dalam memulihkan kembali prestasi perolehan mereka setelah pasca pandemik COVID-19. Pelbagai faktor dilihat menyumbang kepada arena pelancongan domestik negara – ia tidak sekadar disokong tahap pengangguran yang lebih rendah bersama kadar gaji yang lebih baik tetapi turut didorong perluasan ekonomi digital, yang diperhatikan meluaskan lagi peluang dan kemudahan semua pihak pada aktiviti ekonomi negara.

Sebagai perincian, DOSM dapati mengikut taburan negeri – semua negeri memaparkan peningkatan dalam rekod pelancongan. Dengan Selangor mencatatkan rekod pelancongan domestik tertinggi bersama nilai RM11.1 bilion, diikuti Kuala Lumpur RM11 bilion serta Sarawak (RM6.94 bilion dan Pahang pula RM6.73 bilion.

Secara menyeluruh ini faktor yang mendorong peningkatan pada rekod pelancongan domestik di Malaysia bagi suku kedua 2024:

  • Tabiat membeli-belah meningkat – sumbang RM30.84 bilion
  • Melawat saudara dan rakan-rakan – membawa kepada pertambahan tempoh penginapan di lokasi domestik
  • Terdapat 9 negeri memaparkan majoriti kehadiran pelancong domestik adalah kalangan isi rumah yang berpendapatan antara RM5,001-RM10,000 sebulan – ini melibatkan Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Selangor, KL, Labuan dan Putrajaya
  • Sementara baki 7 negeri lagi memaparkan peratusan pelancong domestik tertinggi daripada isi rumah berpendapatan RM1,001 sehingga RM3,000 – iaitu Kedah, Kelantan, Perak, Perlis, Terengganu, Sabah dan Sarawak