Artikel

Pelancong Kemboja Kini Boleh Berbelanja Guna DuitNow QR Di Malaysia – Menerusi Aplikasi Bakong, Maybank

Bank Negara Malaysia (BNM) dan National Bank of Cambodia (NBC) kini melancarkan jalinan pembayaran QR rentas sempadan antara Kemboja dengan Malaysia. Pada jalinan itu, pengguna dan peniaga di kedua-dua negara boleh membuat dan menerima pembayaran rentas sempadan melalui kod QR secara masa nyata dengan mudah.

Di mana pada fasa pertama pengguna dari Kemboja boleh membuat pembayaran runcit secara segera di Malaysia dengan mengimbas kod QR DuitNow yang dipaparkan oleh peniaga menggunakan aplikasi mudah alih mereka iaitu aplikasi Bakong dan Maybank M2U KH.

Sementara fasa berikutnya pengguna Malaysia yang mengunjungi Kemboja juga akan boleh membayar pembelian mereka secara lancar kepada peniaga Kemboja dengan mengimbas KhmerQR (KHQR) menggunakan aplikasi mudah alih daripada institusi kewangan yang terlibat.

Melalui kesepakatan ini, ia sekaligus membolehkan lebih 5 juta peniaga Kemboja dan Malaysia meraih manfaat yang lebih luas dalam perkembangan aliran perbelanjaan bersama pelancong. Secara amnya, inisiatif ini akan merangsang aktiviti perdagangan, menggiatkan pelancongan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi di kedua-dua negara. Pencapaian ini juga mencerminkan visi kolektif ASEAN serta matlamat inisiatif Regional Payment Connectivity untuk integrasi kewangan serantau yang lebih besar dan pembangunan ekonomi yang inklusif.