Artikel

Bekas Gabenor BNM Ke-5, Tan Sri Ahmad Mohd Don Meninggal Dunia Di Usia 77 Tahun

Pernah memimpin Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tempoh Mei 1994 sehingga Ogos 1998, hari ini negara dikejutkan dengan perkhabaran perginya mantan Gabenor BNM ke-5 iaitu Tan Sri Ahmad Mohd Don di usia 77 tahun – berikutan berdepan kegagalan pelbagai organ.

Buat pengetahuan umum, Tan Sri Ahmad miliki pengalaman luas dalam bidang kewangan dan perbankan. Di mana beliau bermula dengan meraih kelulusan dalam pendidikan Ijazah Ekonomi dengan Kepujian daripada Universiti Wales, Aberystwyth, United Kingdom pada tahun 1969. Dan selanjutnya merupakan ahli Fellow Institute of Chartered Accountants di England dan Wales serta ahli Institut Akauntan Awam Bertauliah.

Menerusi pengalaman sedemikian, sebelum memainkan peranan penting dalam tampuk BNM, beliau turut pernah menyandang jawatan selaku Ketua Pengarah Eksekutif Maybank dari tahun 1991 hingga tahun 1994.

Seterusnya, setelah itu beliau meluaskan lagi kepakaran dengan memikul peranan penting selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Alliance Bank Malaysia Bhd pada tahun 2017 sehingga tahun ini.