Dalam usaha membendung penyakit berkaitan gula di Malaysia, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan kadar cukai ke atas minuman bergula (SSB) akan alami peningkatan, di mana pelarasan tersebut akan diketahui pada pembentangan Belanjawan 2025 kelak.
Pelarasan naik kadar cukai gula ini adalah tindak-balas negara berikutan berlakunya penurunan pembelian produk minuman bergula siap minum (RTD) sekitar 9.9% pada pasaran semasa. Maka untuk menggalakkan lagi penurunan jualan tersebut, peningkatan kadar ini dilihat suatu tindakan yang relevan oleh sektor kesihatan negara.
Usaha ini secara langsung turut akan melandaikan peratusan isu obesiti yang didepani sebilangan penduduk Malaysia. Tahukah anda, menjelang 2035 terdapat potensi sekitar 41% penduduk dewasa Malaysia berdepan obesiti dan ketika ini sahaja didapati sekitar 50% penjawat awam negara sedang berdepan masalah tersebut.
Buat pengetahuan umum pada pembentangan bajet lalu, kerajaan telahpun menaikkan paras cukai bergula kepada 50 sen seliter – menerusi kadar baharu kelak ia dijangka akan memberi kesan kepada perubahan harga produk terlibat dan seterusnya mengurangkan lagi kuasa beli pengguna pada keperluan item tersebut.