Penulis terkemuka Raja Petra bin Raja Kamarudin atau lebih dikenali dengan nama timangan RPK meninggal dunia di Manchester, England pada tadi pada usia 73 tahun. Menurut isteri beliau Marina Abdullah, RPK meninggal dunia pada jam 11.26 malam waktu UK disebabkan oleh jangkitan kuman yang kemudiannya merebak ke paru-paru dan hati beliau.

Dilahirkan sebagai Raja Petra bin Raja Kamarudin pada 27 September 1950 di Surrey England, beliau adalah anak kepada Raja Kamarudin bin Raja Tun Uda dan Barbara Mabel Parnell seorang wanita dari Wales. RPK menerima pendidikan awal di Alice Smith School, MCKK dan Victoria Institution.
RPK ialah tokoh media digital Malaysia dan antara yang terawal menggunakan media alternatif sebagai platform untuk menyebarkan berita politik yang tidak sehaluan dengan lidah rasmi kerajaan. Menerusi Malaysia Today yang dilancarkan pada tahun 2004, beliau yang pertama mendedahkan bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan dibebaskan daripada penjara lebih awal daripada tempoh hukuman asal. Penggunaan media alternatif untuk menyampaikan berita terus kepada orang ramai boleh dilihat sebagai leluhur kepada penggunaan media sosial bagi tujuan yang sama sekarang.
Kolum The Corridors of Power beliau misalnya, menjadi bahan bacaan wajib mereka yang inginkan berita di sebalik tabir yang berlaku di dalam kerajaan. Pengaruh penulisan RPK masih dapat dilihat pada generasi penulis-penulis media alternatif semasa.