Bilangan penganggur di pasaran Malaysia dilihat semakin berkurangan, apabila data setakat Julai 2024 menunjukkan rekod penganggur semasa adalah 563,700 individu dengan kadar kekal di paras 3.3%.
Penurunan angka penganggur ini secara jelas membawa kepada pertambahan jumlah penduduk bekerja di Malaysia, yang ketika ini naik 0.2% kepada 16.63 juta individu. Pertambahan tersebut antaranya dapat diperlihat pada peningkatan tenaga kerja dalam sektor Perkhidmatan membabitkan kategori aktiviti makanan dan minuman, perdagangan borong runcit, serta pengangkutan dan penyimpanan.
Sementara mengikut taburan status pekerjaan pula, kumpulan pekerja terus menjadi komposisi terbesar dalam jumlah penduduk bekerja di negara – dengan 12.48 juta individu berstatus pekerja, diikuti 3.07 juta pula kumpulan bekerja sendiri, 488,100 individu pula kumpulan pekerja keluarga tanpa gaji dan majikan pula seramai 597,700 individu.
Secara menyeluruh berdasarkan data Jabatan Perangkaan (DOSM) bagi laporan Tenaga Buruh ini, penyertaan tenaga kerja lelaki dan wanita dilihat memaparkan peningkatan positif dengan lelaki (1.7%) dan wanita (1.6%). Menerusi kerancakkan tersebut, ini akan meningkatkan lagi dinamik aktiviti ekonomi negara secara berkala.
