Artikel

Lebih 22,600 Unit Rumah Siap Bernilai RM14.24 bilion – Masih Tidak Terjual

Prestasi harta tanah negara untuk tempoh 6 bulan pertama tahun ini memaparkan terdapatnya 22,642 unit rumah siap bernilai RM14.24 bilion, masih lagi tidak terjual di pasaran negara.

Biarpun data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) ini memperlihatkan penurunan 13.9% dari aspek jumlah unit rumah namun nilainya kekal tinggi untuk pulangan negara.

Mengikut taburan negeri, Perak menjadi negeri tertinggi yang mencatatkan rumah siap dibina tidak terjual – dengan melibatkan 4,161 unit (18.4%), diikuti Johor 3,219 unit (14.2%) dan Kuala Lumpur pula dengan 3,050 unit (13.5%).

Berdasarkan jumlah unit rumah yang tidak terjual ini, ternyata kategori kondominium dan apartment mendominasi peratusan dengan 59.8% (13,535 unit), teres mewakili 24.4% (5,524 unit), gabungan tumah berkembar mewakili 8.2% (1,867 unit) dan selebihnya 7.6% dengan lain-lain kediaman.

Manakala berasaskan kadar harga rumah yang tidak terjual pula, unit mewah mendominasi iaitu lebih RM500,000 mewakili 9,413 unit kediaman, diikuti RM300,000 ke bawah dengan 6,840 unit danĀ  RM300,000 ke atas pula dengan 6,389 unit tidak terjual.