Memahami dinamik masyarakat negara ke arah status menua, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kini secara rasminya melancarkan MyAgeing Dashboard – bagi membolehkan semua pihak meraih akses melibatkan statistik penduduk, penuaan serta aliran jangka hayat semasa.
Papan maklumat ini untuk pengetahuan umum, menyertakan data siri masa sejak dari 1970 sehingga 2024 – di mana ia akan membantu semua pihak untuk lebih fahami akan isu penuaan di negara dengan lebih mendalam.
Berlandaskan pelancaran itu, didapati aliran penuaan di negara semakin meningkat. Ini kerana pada tahun 1970 hanya 5.4% sahaja penduduk negara berusia 60 tahun ke atas disusuli 44.5% pula berusia 14 tahun ke bawah berbanding tahun 2024 memperlihatkan penduduk berusia 60 tahun ke atas meningkat kepada 11.6% dan penduduk bawah 14 tahun pula sekitar 22.2%.
Angka ini sekaligus berpotensi membawa kepada peningkatan 17.3% pada 2040 untuk masyarakat menua. Ini bermakna pada tahun 2039 akan terdapat sejumlah 6.17 juta penduduk Malaysia berusia 60 tahun dan ke atas.
Mengikut perkongsian data pada akhir Ogos lalu, didapati semua daerah di Perak dan Kedah kini telah dimasukkan dalam kategori populasi menua berikutan peratusan masyarakat usia tua negeri tersebut telah lepasi 7%.
Selain kedua negeri tersebut, Sarawak turut menjadi negeri yang miliki ramai penduduk 60 tahun ke atas meskipun tidak semua daerah berdepan peratusan tinggi. Setakat ini sekitar 13.4% penduduk Sarawak diklasifikasikan berusia 60 tahun dan lebih. Situasi ini menurut DOSM didorong kesan kadar kelahiran rendah dan kadar kesuburan jumlah (TFR) menurun serta peningkatan jangka hayat.
Sementara mengikut taburan negara ASEAN pula, Malaysia kini di kedudukan ke-4 setelah Thailand, Singapura dan Vietnam. Kedudukan ini jelas memperincikan paras penuaan negara lebih pantas berbanding Indonesia, Brunei dan Filipina.
Persekitaran ini secara jelas menuntut kerajaan negara untuk meluaskan lagi akses kemudahan buat masyarakat negara. Tidak sekadar kemudahan awam bahkan keperluan akses ke atas kumpulan pekerja. Adanya aturan persediaan ini, ia sekaligus akan memantapkan produktiviti negara tanpa mengugat kecekapan dan pengeluaran negara di masa hadapan.
Maka pada tindakan balas itu, diharap semua pihak dapat memanfaatkan portal MyAgeing ini untuk lebih memahami dan bersedia akan status ekonomi di masa mendatang. Menerusi sokongan data ini, secara berkala ia akan menambah baik sistem ekonomi, sosial dan kesihatan negara.