Artikel

Syarikat Swasta Disaran Contohi Khazanah – Tetapkan Gaji Minimum RM3,000 Sebulan 

Setelah melaras naik gaji sektor awam, kini tibanya masa untuk sektor swasta pula meluaskan paras gaji minimum buat kumpulan pekerja. Antaranya dengan mencontohi langkah Khazanah Nasional dengan menetapkan paras gaji minimum mereka sekitar RM3,000 sebulan. Tindakan itu telah memberi impak yang baik buat sejumlah 113,000 pekerja di bawah Khazanah.

Saranan yang dizahirkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika sidang ulang tahun ke-30 semalam adalah bertujuan meningkatkan taraf hidup pekerja tatkala berdepan kepesatan ekonomi semasa.

Melihat pada saranan tersebut, kelak terdapat potensi untuk kadar gaji minimum baharu dibentangkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bersama kabinet pada September ini. Dimaklumkan pentadbiran bersama Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) telah meraih cadangan akan kadar gaji minimum baharu.

Namun aturan itu perlu dipertimbangkan bersama jemaah menteri sebelum dipaparkan kepada umum.

Buat pengetahuan umum, di bawah Akta 732 telah menggariskan majlis perlu sekurang-kurangnya laksana semakan perintah kadar gaji minimum di negara bagi setiap 2 tahun. Ini selari dengan semakan yang sebelum ini dilaksanakan iaitu kadar gaji minimum pada 2020 sekitar RM1,200 kemudiannya dinaikkan kepada RM1,500 pada 2022.

Selaras dengan saranan dan komitmen pentadbiran dalam menyemak paras gaji minimum baharu, disasar ia memberi kebaikan kepada kumpulan pekerja pada pasaran mendatang.