Artikel

FLYsiswa, Baucar RM300 Buat Pelajar IPTA Beli Tiket Penerbangan – Kini Dijadikan Inisiatif Tahunan

FLYsiswa, baucar digital RM300 buat kemudahan pelajar untuk membeli tiket penerbangan domestik – kini dimaklumkan akan menjadi insiatif bantuan tahunan buat pelajar negara.

Makluman rasmi Kementerian Pengangkutan (MOT) ini dicapai setelah mendapat persetujuan bersama jemaah menteri. Usaha ini secara langsung akan membantu pelajar insitut pengajian tinggi negara meraih penjimatan berganda bagi tujuan pulang ketika musim cuti dan perayaan.

Buat pengetahuan umum, sebelum ini akses tersebut diberi kepada lebih 56,000 pelajar Universiti Awam (UA) setelah itu diperluaskan kepada pelajar Politeknik, Kolej Komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta pelajar Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

Pada akses itu, pelajar negara boleh memanfaatkan faedah tersebut untuk perjalanan laluan domestik libatkan laluan antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan.

Menurut MOT, baucar digital ini boleh diraih dengan permohonan bersama syarikat penerbangan terlibat. Antaranya melibatkan Malaysia Airlines, MASwings, FireFly, AirAsia, Batik Air dan MYAirline melalui laman sesawang operasi.

Akan tetapi perlu diingatkan, penggunaan subsidi hanya boleh diguna untuk pembelian  tiket penerbangan sekiranya alamat tetap pelajar adalah destinasi penerbangan tersebut.

Sebagai perincian, perolehan baucar digital ini akan dijadikan sebagai credit shell kepada para pelajar untuk pembelian tiket penerbangan. Ini bermakna sekiranya  harga tiket penerbangan yang dibeli adalah bawah RM300 maka baki selebihnya akan kekal dalam credit shell dan boleh digunakan pada pembelian tiket pelajar seterusnya.

Menerusi lanjutan insiatif ini kepada tahunan, ia sekaligus akan meluaskan lagi penjimatan kos bersama pelajar negara. Tidak hanya itu, usaha ini akan merancakkan lagi saluran penerbangan sebagai pengangkutan pilihan pelajar negara.