Artikel

Lebih 100,000 Usahawan Baharu Kini Sertai Shopee – Bagi Tahun 2024

Penerimaan e-dagang sebagai sebahagian landskap perniagaan dalam sektor ekonomi negara dilihat telah merancakkan lagi pertumbuhan pasaran Malaysia – di mana Shopee mendedahkan, ekosistemnya telah menerima lebih 100,000 usahawan baharu bagi tahun ini.

Angka itu tidak sekadar meningkatkan pertumbuhan Shopee tetapi turut mencerminkan lebih ramai usahawan tempatan terbuka untuk memasuki ekosistem ekonomi digital.

Selain prestasi pertambahan jumlah peniaga dalam e-dagang, Shopee turut melihat peniaga pada pasaran semasa kini gemar memanfaatkan Shopee Live dalam mempromosikan produk jualan mereka bersama pengguna. Instrumen tersebut kini menjadi pilihan utama usahawan tempatan apabila penggunaannya meningkat 113% pada tahun 2024.

Peningkatan ini antaranya didorong kesan interaksi yang lebih baik dapat dicapai antara kedua pihak – sebagai perincian setakat ini lebih 14 juta penstriman langsung telah dijalankan oleh peniaga tempatan dengan rekod 27 juta komen dari pelanggan yang diterima Shopee pada tahun ini.

Lebih menarik instrumen tersebut turut membantu usahawan luar bandar, dalam meluaskan liputan perniagaan mereka bersama pengguna di seluruh Malaysia. Ini dapat dilihat berikutan peningkatan 65% peniaga Shopee Live kalangan dari Pantai Timur.

Secara menyeluruh, setakat ini segmen e-dagang telahpun memaparkan peningkatan 7.8% secara tahunan dalam pasaran negara dengan merekodkan jumlah pendapatan RM302.4 bilion pada suku kedua 2024. Maka adanya sokongan akses seperti Shopee, ia dijangka akan meningkatkan lagi pulangan kepada sektor ekonomi negara.