Artikel

32,676 Kandungan Scam Atas Talian Telah Diturunkan – Setakat Pertengahan Ogos Ini 

Dalam tempoh Januari sehingga 15 Ogos lalu, ternyata sejumlah 32,676 kandungan penipuan atas talian telah berjaya diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Paparan kandungan scam ini secara jelas menunjukkan berlakunya peningkatan sebanyak 6,297 kandungan scam berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Sekiranya ia tidak ditangani dengan lebih pantas, situasi tersebut berupaya meningkatkan lagi jumlah kerugian pengguna negara di masa mendatang. Buat pengetahuan umum, Malaysia telah alami kerugian RM3.18 bilion antara 2021 sehingga April 2024 susulan kesan penipuan atas talian ini.

Dan jumlah tersebut adalah aduan kerugian yang direkodkan, pihak berkuasa menjangkakan jumlah kerugian sebenar adalah lebih tinggi bagi kumpulan yang tidak melaporkannya.

Susulan isu ini, SKMM melihat aturan pengelasan semula platform media sosial di bawah kerangka kerja perlesenan adalah tepat dalam memastikan hak pengguna terus dilindungi. Aturan sedemikian sekaligus turut berupaya menangani isu pelanggaran privasi dan penyebaran bahan berbahaya.

Selain usaha meningkatkan keselamatan pengguna akan risiko platform media sosial, Kementerian Komunikasi turut difahamkan sedang mendapatkan sokongan untuk pelaksanaan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia. Melalui kesepakatan itu, kementerian menjangkakan RUU sedemikian dapat dibentang ke Parlimen tidak lama lagi.

Langkah ini dilihat akan merapatkan jurang digital antara semua pihak, tidak hanya platform media sosial bahkan pemain industrinya meliputi kumpulan media, penggubal dasar serta pihak berkepentingan.