Artikel

Monopoli Puspakom Kini Telah Tamat – Tidak Lagi Jadi Penyedia Tunggal Khidmat Pemeriksaan

Seperti yang umum ketahui, bermula 1 September 2024 (semalam) secara rasminya Puspakom – Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer tidak lagi  menjadi penyedia tunggal untuk khidmat pemeriksa berkala kenderaan motor bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) – sebagaimana yang di peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Pelaksanaan ini sekaligus menoktahkan isu monopoli dalam pasaran negara.

Aturan itu untuk makluman telahpun dicapai pada Mac 2023, di mana pihak Kabinet negara telah bersetuju untuk menamatkan konsesi mereka pada 31 Ogos 2024.

Meskipun hak eksklusif tersebut telah berakhir, namun Puspakom kekal menjadi antara penyedia khidmat pemeriksaan di negara dan perlu bersaing bersama pemain baharu yang telah berjaya lepasi penilaian khidmat berasaskan Akta 333.

Setakat ini penawaran kemasukan pemain lain selaku penyedia khidmat pemeriksaan telahpun dibuka sejak suku pertama lalu sehingga 31 Oktober ini. Di mana terdapat 50 syarikat nyatakan minat untuk menawarkan khidmat tersebut dan ketika ini terdapat 2 permohonan telahpun diterima secara rasmi oleh Kementerian Pengangkutan (MOT). Sementara senarai penuh akan kumpulan tersebut hanya akan diketahui setelah 31 Oktober kelak.

Secara menyeluruh, usaha ini akan membantu negara meluaskan lagi persaingan dalam pasaran, sekaligus membantu persekitaran ekonomi lebih produktif secara berperingkat.