Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus memperlihatkan prestasi yang kukuh apabila bagi tempoh suku kedua 2024 menunjukkan lonjakan 340.4% dengan keuntungan bersih RM1.44 bilion. Angka ini secara jelas lebih tinggi berbanding tahun lalu dengan rekod RM327.9 juta.
Mengikut makluman Bursa, pendapatan kumpulan juga turut meningkat 7.8% kepada RM14.37 bilion. Pertumbuhan ini antara lain didorong hasil peningkatan jualan elektrik sekitar RM745.8 juta dengan peningkatan 5.7%.
Prestasi ini seiring dengan permintaan elektrik sebanyak 8.4% yang dicatatkan selari perkembangan KDNK sebanyak 5.9% pada suku kedua 2024. Untung operasi juga meningkat 19.9% berikutan pengurangan margin bahan api negatif berbanding suku tahun lalu.
Biarpun meraih manfaat yang tinggi pada tempoh tersebut, TNB kekal melaksanakan langkah berjaga akan dinamik pasaran untuk memastikan operasi terus berdaya tahan. Selain memastikan operasi meraih pulangan yang baik, TNB juga dalam usaha meluaskan komitmen mereka dalam agenda kelestarian.
Antaranya meningkatkan tumpuan dalam peranan menyokong Pelan Peralihan Tenaga (NETR) yang dilaksanakan pentadbiran negara. Menerusi NETR, ia dijangka berpotensi meningkatkan ekonomi Malaysia sehingga 15% bersama penawaran 350,000 pekerjaan menjelang 2050.