Susulan penelitian kajian kadar gaji minimum telah selesai pada Jun lalu bersama Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) – dijangka syor kadar gaji minimum yang telah dicapai ini berpotensi dibentangkan ke mesyuarat Kabinet pada September hadapan.
Makluman Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) pada pertengahan bulan ini, menjelaskan pihaknya telah menerima laporan dan syor kadar tersebut daripada MPGN. Maka langkah lanjut akan dibentang bersama Kabinet untuk pertimbangan dan kesepakatan keputusan akan kadar gaji minimum baharu tersebut.
Buat pengetahuan umum pelarasan ini sememangnya akan diteliti setiap dua tahun – di mana sebelum ini negara telahpun menaikkan paras gaji minimum daripada RM1,200 (2020) kepada RM1,500 pada Mei 2022.
Adanya penetapan pelarasan baharu ini, ia seiring dengan usaha Malaysia untuk memastikan penawaran gaji di pasaran berpatutan seiring dengan tuntutan pasaran semasa. Bagaimanapun sebarang penetapan gaji minimum baharu adalah tertakluk dengan pelbagai aspek termasuklah situasi ekonomi semasa supaya tidak membebankan kumpulan majikan di masa hadapan. Sama-sama kita nantikan.