Malaysia kini disaran meluaskan strategi dalam meningkatkan hasil negara, terutamanya dalam skop percukaian. Ketika ini didapati penerimaan cukai hanya menyumbang 12% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Tinjauan landskap ekonomi negara di bawah Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) ini antara lain mengesyorkan pentadbiran untuk pertimbangkan pelaksanaan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST), diikuti meluaskan asas cukai pendapatan peribadi.
Jelas OECD, kebanyakan negara telah menjadikan cukai bernilai tambah ini sebagai tumpuan utama pada sistem percukaian mereka. Berikutan ia membantu negara dalam pertumbuhan ekonomi secara berkala dan sukar untuk dielakkan oleh pihak terlibat.
Biarpun mengakui pulangan GST adalah lebih baik namun pelaksanaannya dijangka akan memberi tekanan lebih besar kepada kumpulan pendapatan rendah. Maka OECD berpendirian adalah penting untuk pengenalan GST ini diteliti pada kadar yang lebih rendah untuk mengimbangi tekanan tersebut.
Susulan itu selain perhatian tersebut, OECD turut menggariskan kadar hutang awam akan terus meningkat sekiranya tiada pengenalan dasar fiskal baharu. Ini susulan populasi masyarakat tua akan meningkat dan membawa kepada peningkatan kos yang lebih besar.
Melihat pada syor tersebut, Kementerian Ekonomi telah memaklumkan hasil tinjauan laporan ini akan diteliti dan digunakan untuk tindakan rangka Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) kelak. Malah input yang disyorkan turut akan diteliti bagi pelaksanaan program khusus buat pemain ekonomi negara terutamanya melibatkan warga PMKS.