Artikel

Penumpang Boleh Tuntut Bayaran Balik Penuh, Jika Penerbangan Ditunda Lebih 5 Jam – MOT

Tidak lama lagi, syarikat penerbangan dikehendaki untuk laksana bayaran balik penuh kepada penumpang mereka sekiranya perjalanan tersebut ditunda selama 5 jam dan lebih.

Pilihan baharu ini untuk makluman adalah relevan sekiranya pengguna tidak mahu meneruskan perjalanan mereka bersama syarikat penerbangan terlibat disebabkan kesan penangguhan penerbangan yang lama.

Jelas Kementerian Pengangkutan (MOT) langkah ini adalah sebahagian daripada pindaan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) yang akan diwartakan pada 2 September kelak.

Selain itu pilihan tersebut juga perlu ditawarkan kepada pengguna yang berdepan penangguhan perjalanan disebabkan isu gangguan luar biasa – meliputi gangguan teknikal, perubahan cuaca atau faktor lain.

Malah syarikat penerbangan turut boleh menyertakan pilihan pembayaran secara kredit mahupun baucar perjalanan. Akan tetapi pengguna kekal berhak untuk memilih kaedah pembayaran yang diinginkan mereka.

Adanya penambahbaikan ini, ia sekaligus memberi keyakinan kepada pengguna akan hak perjalanan mereka serta kerugian masa yang didepani berikutan penangguhan penerbangan. Pada langkah itu, turut akan membantu meningkatkan imej syarikat penerbangan dan menjadi motivasi untuk semua pihak menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap dari semasa ke semasa.