Sepertimana yang dimaklumkan pada Mei lalu, dalam usaha menangani pengambilan gula dan garam yang berlebihan kalangan penduduk negara – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan akan mengemukakan aturan sistem gred nutrien ke atas produk makanan dan minuman negara kepada sidang Kabinet minggu ini.
Menjawab kepada soalan Rnggt ketika acara Santan Club Zero (26 Ogos), KKM menjelaskan terdapat beberapa agenda telah dirangka pada inisiatif di bawah kempen Perang Ke Atas Gula yang akan dilancar tidak lama lagi – antaranya melibatkan sistem penarafan kadar gula dan garam yang akan dikemuka bersama Jemaah Menteri.
Sistem ini dilihat berupaya membantu pihak berkuasa melandaikan peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan rakyat negara. Malah ia merupakan lanjutan usaha KKM setelah melaksanakan duti eksais ke atas produk minuman bergula (SSB) di pasaran negara.
Buat pengetahuan umum pengenaan caj tersebut telah menyebabkan berlakunya penurunan pembelian produk minuman bergula siap minum (RTD) sekitar 9.25% dalam pasaran negara. Perihal ini sekaligus membantu usaha sektor kesihatan mengawal pengambilan gula secara berkala.
Maka adanya tumpuan lanjutan, ini akan merancakkan lagi usaha negara dalam menangani jangkaan berlakunya peningkatan kadar obesiti kalangan penduduk dewasa menjelang 2035 kelak.