Selaras dengan agenda Kementerian Kesihatan (KKM) negara dalam mengurangkan kadar gula serta isu diabetes yang dialami segelintir rakyat negara – Santan, segmen katering dalam penerbangan Capital A kini melancarkan inisiatif Club Zero bagi menggalakan pengambilan makanan dan minuman rendah gula kalangan rakyat Malaysia.
Pada kempen ini, Santan menetapkan piawaian tertentu pada kadar gula dalam penawaran produk makanan mereka di seluruh rangkaian AirAsia.
Sebagai perincian pada setiap penerbangan akan terdapat penyediaan maklumat berhubung tahap kalori penawaran makanan dan minuman yang tersedia untuk para penumpang.
Tidak hanya itu, peringatan buat pengguna yang miliki alahan tertentu juga turut disertakan bagi memastikan tahap kesihatan pengguna kekal terjaga.
Selain jenama Pak Naseer, kempen ini turut menghimpunkan kerjasama Secret Recipe dan Tealive. Ini bermakna terdapat menu terpilih turut akan tersedia pada penawaran produk minuman dan makanan jenama untuk penumpang rangkaian AirAsia. Difahamkan penawaran produk yang terlibat akan tersedia dengan hanya 50% kadar gula.
Secara menyeluruh KKM bersama sokongan Menteri Kesihatan Dr. Zulkifly menyambut baik inisiatif Santan bersama pemain industri yang lain dalam meluaskan akses makanan, minuman yang rendah gula kepada pengguna awam. Ini beriringan dengan agenda negara yang akan perkenal sistem penetapan gred kandungan gula ke atas jualan produk di pasaran.
