Menyedari kepentingan digital memberi manfaat menyeluruh khususnya dalam sektor pendidikan, LeapEd Services dan Payment Network Malaysia (PayNet) kini menampilkan Sekolah Anak Malaysia (SAM) buat pilihan pendidikan pelajar negara. Bersama konsep sekolah digital, sistem pendidikan ini mengetengahkan subjek pelajaran yang lebih khusus bersama persekitaran digital.
Buat pengetahuan umum, operasi persekolahan SAM adalah melibatkan 80% secara maya dan 20% secara fizikal iaitu melibatkan pembelajaran teknikal dan aktiviti bersosial yang telah ditetapkan penjadualan pengumpulan pelajar mereka dari seluruh Malaysia.
SAM pada asasnya ditubuhkan hasil tindak balas terhadap Kajian Pemulihan Pasca-COVID LeapEd, yang mengenal pasti keperluan mendesak untuk merapatkan jurang pembelajaran. Keterdesakan ini kemudian dinyatakan dalam skor PISA 2023, yang menekankan keperluan kritikal untuk penyelesaian pendidikan yang berinovasi.
Maka menerusi cetusan SAM, ia dilihat berupaya membantu negara mengimbangi keperluan ketirisan pendidikan bersama sokongan digital. Pada peringkat awal – SAM memberi tumpuan kepada penglibatan pelajar Tingkatan 1 sehingga Tingkatan 3 sahaja sebelum diperluaskan kepada menengah atas mulai 2025 dan sekolah rendah pada 2026.
Setakat ini sahaja, pelajar yang terlibat tidak sekadar dari Lembah Klang, Selangor dan Negeri Sembilan bahkan terdapat juga penyertaan dari Kelantan serta Sabah.
Menerusi potensi dan permohonan yang semakin meningkat, PayNet optimis sistem pendidikan bercirikan manfaat digital ini tidak sekadar memudahkan sektor pendidikan negara bahkan turut berpotensi menghasilkan bakat muda yang lebih holistik akan keperluan pasaran di masa hadapan.
