Artikel

Inflasi Malaysia Kekal 2.0% – Semua Negeri Terus Berdepan Tekanan Kos Makanan, Minuman

Indeks Harga Pengguna (IHP) yang menjadi penanda kepada paras inflasi utama negara kini memperlihatkan tahap tekanan kos yang masih konsisten – untuk Julai 2024, prestasi inflasi masih kekal di paras 2.0% sepertimana sejak Mei lalu.

Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Julai memperlihatkan peningkatan kos yang lebih perlahan dengan segmen Restoran dan Perkhidmatan Penginapan (3.4%), Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial (3.2%), disusuli segmen Rekreasi, Sukan & Kebudayaan (2.2%) dan Kesihatan (1.9%).

Biarpun aliran kenaikan kos lebih perlahan, namun mengikut taburan negeri – kesemua negeri merekodkan peningkatan inflasi Makanan & Minuman. Antaranya Selangor (3.0%), Pulau Pinang (2.8%), Sarawak (1.9%), Sabah (1.7%) Pahang (1.6%) dan Terengganu (1.6%).

Keadaan ini sekaligus turut berupaya memperlahankan aliran perbelanjaan pengguna dalam aktiviti makanan dan minuman. Khususnya tekanan kos ke atas kumpulan yang berpendapatan bawah RM3,000.

Mengikut tinjauan DOSM, kumpulan ini berdepan tekanan kos dengan inflasi 1.8%. Antara segmen yang memberi tekanan kos kepada kumpulan tersebut adalah perbelanjaan di Restoran dan Penginapan (4.3%), kos Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api (3.2%), Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial dan Perkhidmatan Lain (2.6%).