Artikel

BNM: Portal Fraud Kebangsaan Kini Dilancarkan – Perkukuh Usaha Negara Jejaki Akaun Keldai

Sepertimana yang dirangka pada September 2023 lalu, kini Bank Negara Malaysia (BNM) bersama Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet), dan institusi kewangan telah merealisasikan agenda negara dengan melancarkan Portal Fraud Kebangsaan (NFP) sebagai platform bersepadu untuk perkukuhkan keupayaan operasi Pusat Respons Scam Kebangsaan (National Scam Response Centre, NSRC) menjejaki akaun bank scammer ataupun keldai di pasaran negara. 

Menerusi akses ini, institusi kewangan dapat mengesan dan memulihkan transaksi secara automatik, laksana perkongsian maklumat bersama pemain industri yang lain serta laksana penilaian mengesan akaun keldai berasaskan data yang dikumpulkan platform. 

Aturan itu secara langsung akan meningkatkan lagi kualiti data yang digunakan oleh industri melalui penyelarasan klasifikasi akaun keldai. Prosedur ini juga menyeragamkan pendekatan industri dalam pengendalian akaun keldai bagi memastikan mangsa yang terjejas akibat aktiviti akaun keldai boleh terus mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan asas.

Secara mudahnya melalui NFP, operasi NSRC kini dilengkapi dengan keupayaan automasi menyeluruh atau end-to-end bagi menguruskan laporan penipuan, mengesahkan dan menjejak dana yang dicuri, serta membolehkan perkongsian amaran dalam kalangan institusi kewangan agar tindak balas pantas dapat diambil.

Susulan itu orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengikuti halaman Facebook Amaran Scam (facebook.com/amaranpenipuan) atau laman sesawang #JanganKenaScam (jangankenascam.com) untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai penipuan kewangan.