Artikel

Kerajaan Tidak Benarkan Buka Ladang Kelapa Sawit Baharu – Mahu Pacu Perlindungan Biodiversiti

Selari dengan komitmen negara untuk mengekalkan 54% liputan hutan bagi menyokong kemampanan biodiversiti semasa – Malaysia kini berhasrat untuk tidak lagi membuka ladang kelapa sawit baharu di kawasan hutan negara. 

Matlamat ini menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi memerlukan sokongan kilang sawit untuk tidak menerima buah sawit dari kawasan hutan ditebang. Aturan itu termasuklah tidak boleh mengeksport dan menjual buah sawit dari kawasan tersebut. 

Ini kerana Malaysia telah memiliki kapasiti ladang kelapa sawit yang mencukupi. 

Usaha ini secara langsung turut melindungi hidupan orang utan pada persekitaran hutan negara. Maka untuk memastikan langkah tersebut dipatuhi, semua pengeluar termasuk peladang dan pekebun kecil diwajibkan miliki pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). 

Menerusi status sedemikian, ia akan menangani akan kualiti dan usaha kelestarian produk sawit negara di pasaran global. Secara menyeluruh, sektor minyak sawit negara kini telah memberi sumbangan baik kepada pertumbuhan – sekitar 3% kepada KDNK negara iaitu menjana lebih RM100 bilion hasil eksport dan penawaran 1 juta pekerjaan di pasaran semasa.