Tahap kebergantungan rakyat pada teknologi dan infrastruktur digital diperhatikan semakin meningkat, secara langsung telah membawa perubahan pada pasaran negara – ini termasuklah kesannya ke atas kos sara hidup rakyat negara. Menyedari dinamik itu, Suruhanjaya Persaingan (MyCC) kini memaklumkan telah mengatur kajian ke atas situasi tersebut.
Langkah ini menurut MyCC seiring dengan peranan mereka di bawah Akta Persaingan 2010 (Akta 712) Seksyen 11 bersama insiatif sendiri untuk mengkaji struktur pasaran dan perubahan yang berlaku dalam kegiatan ekonomi.
Antaranya melibatkan aspek seperti sistem pengendalian dan pembayaran mudah alih serta landskap e-dagang. Kajian turut akan menyemak kesan pengiklanan digital atas talian serta menilai kaedah pemasaran meliputi enjin carian, iklan media sosial dan paparan video.
Menerusi usaha tersebut, ia akan memberi gambaran jelas kepada pentadbiran akan faktor yang mempengaruhi kualiti hidup rakyat negara dan bagaimana kemasukan digitalisasi memberi perubahan ketara kepada ekonomi negara.
Buat pengetahuan umum, sebelum ini MyCC telahpun laksana kajian akan isu berbeza antaranya melibatkan isu makanan asas dan isu kritikal yang berlaku di pasaran bagi tahun 2012 dan 2022.
Susulan itu, untuk pihak yang ingin terlibat sama pada kajian boleh merujuk atau mendaftar, melalui pautan di www.mycc.gov.my atau hubungi urusetia di [email protected].