Aliran sektor ekonomi negara terus memperlihatkan pertumbuhan yang baik apabila menunjukkan peningkatan pada jumlah penawaran pekerjaan dalam pasaran semasa. Setakat suku kedua 2024, terdapat 8.96 juta jawatan tersedia di pasaran Malaysia dengan kadar 97.9% jawatan diisi.
Berlandaskan ketersediaan jawatan tersebut, mengikut data Jabatan Perangkaan (DOSM) sekitar 62.5% adalah jawatan melibatkan kategori Separuh Mahir bersamaan 5.60 juta jawatan. Pada jumlah itu, sekitar 5.49 juta jawatan telah diisi oleh tenaga kerja negara.
Sementara kategori mahir pula mewakili 2.24 juta jawatan dengan 2.19 juta jawatan telah diisi pekerja di negara. Diikuti kategori berkemahiran rendah pula memaparkan penurunan akan jumlah jawatan dengan 1.14 juta jawatan, di mana 1.07 juta jawatan telah diisi pekerja negara.
Berdasarkan pertumbuhan itu, sektor Perkhidmatan terus kekal menjadi penyumbang terbesar dalam pasaran kerja negara dengan 4.65 juta jawatan, disusuli Pembuatan (2.45 juta jawatan), Pembinaan (1.26 juta jawatan), Pertanian (501,000 jawatan) dan Perlombongan & Pengkuarian (81,000 jawatan).