Lambakan penawaran makanan yang tidak sihat di pasaran negara secara langsung telah meningkatkan lagi isu obesiti kalangan penduduk awam. Menyedari krisis tersebut, kini terdapat usul mencadangkan agar kategori makanan tersebut dikenakan cukai boleh negara untuk meningkatkan tahap kesihatan semasa.
Usul yang di bawa Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pada minggu lalu ini bertujuan tidak sekadar memilihara kesihatan umum tetapi untuk melandaikan pemasaran produk makanan dan minuman ultra proses (UPF) di pasaran negara.
Kesan UPF berpotensi mewujudkan risiko lain seperti darah tinggi, penyakit jantung dan kanser susulan memiliki kandungan tinggi tenaga, gula tambahan, natrium dan lemak tidak sihat.
Malah diakui perubahan pada sistem pembuatan dan pengedaran makanan juga turut merancakkan lagi pemasaran UPF yang sekaligus membawa kepada perubahan gaya hidup pengguna negara. Di mana permintaan makan mudah menjadi lebih tinggi tambahan kemudahan akses serta penawaran harga UPF lebih berpatutan menjadikan ia pilihan orang ramai.

Menerusi pengenaan cukai ke atas makanan yang mengandungi lemak, garam atau gula yang tinggi (HFSS) termasuk UPF berdasarkan analisis sokongan Imperial College Business School ia berupaya mengurangkan aliran penjualan, pembelian dan pengambilan makanan tersebut.
Ketika ini didapati 16 negara telah laksana cukai tersebut dan ia memiliki potensi untuk dijalankan di Malaysia berikutan negara telahpun mengenakan duti eksais ke atas produk minuman bergula dalam bentuk pracampuran berasaskan coklat, koko, malt, kopi dan teh pada Belanjawan 2022.


Selain usaha mengenakan cukai, CAP turut mencadangkan penyediaan subsidi bagi makanan sihat dan segar diberikan secara minimum kepada isi rumah yang berpendapatan rendah. Menerusi usaha tersebut ia dilihat merapatkan lagi jurang akses makanan sihat dan membantu menampung tekanan kos makanan sihat, memupuk tabiat pemakanan yang lebih baik secara berkala kepada penduduk negara.