Artikel

Kadar Kelahiran Hidup Jatuh 10.2%, Tatkala Populasi Malaysia Kini 34.1 Juta Orang

Biarpun populasi Malaysia kini semakin meningkat dengan rekod 34.1 juta penduduk dalam tempoh 6 bulan pertama 2024 – didapati kadar kelahiran hidup telah alami penurunan 10.2% pada suku kedua 2024.

Kadar Kelahiran Hidup – merujuk kepada kelahiran yang bernyawa semasa dilahirkan walaupun seketika.

Data demografi Jabatan Perangkaan (DOSM) ini memperincikan penurunan itu melibatkan 100,732 kelahiran berbanding 112,197 kelahiran pada tempoh yang sama pada 2023. Di mana bayi lelaki kekal melebihi bayi perempuan dengan 51,759 kelahiran berbanding 48,973 kelahiran dengan nisbah 106:100.

Sementara berdasarkan taburan negeri pula, Selangor terus menjadi negeri tertinggi yang mencatatkan bilangan kelahiran hidup iaitu 19,320 (19.2%) manakala Wilayah Persekutuan Labuan pula menjadi negeri terendah mencatatkan kadar kelahiran hidup sekitar 324 kelahiran (3%).

Mengikut kelahiran hidup itu, ibu berusia 30 hingga 39 tahun merekodkan kelahiran hidup tertinggi berjumlah 51,740 kelahiran (51.4%) pada suku kedua ini, diikuti usia 20-29 tahun (41.5%), 40 tahun ke atas (5.4%) dan bawah 20 tahun pula 1.8%.

Secara puratanya seorang bayi dilahirkan pada setiap minit, 47 bayi bagi setiap jam dan 1,119 bayi sehari pada suku kedua 2024 ini.

Sementara kadar kematian pula memaparkan penurunan 5.4% dengan 48,460 kematian dicatatkan pada tempoh tinjaun. Rekod ini memperincikan kumpulan usia 60 tahun ke atas mencatatkan bilangan kematian tertinggi dengan 34,043 (70.2%), dikuti 41-59 tahun (20%), 15-40 tahun (7.6%) dan 14 tahun ke bawah (2.1%).