Menyedari terdapat perbezaan ketara dan jumlah yang lebih tinggi pada paras gaji libatkan Ketua Pegawai Eksekutif atau Pengarah Urusan Badan Berkanun Persekutuan (BBP) – Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) kini memohon penetapan garis siling dilaksanakan ke atas gaji kumpulan ini agar ia tidak keterlaluan.
Mengikut makluman PAC, sehingga kini tiada garis siling disediakan pada penetapan gaji jawatan peneraju BBP dan didapati jumlah yang diterima adalah berbeza.
Keperluan siling ini bertujuan untuk memastikan tatakelola BBP adalah seimbang. Ini kerana terdapat BBP gagal membayar dividen kepada kerajaan namun mampu memberi gaji yang tinggi kepada pengurusan tertinggi.
Badan Berkanun Persekutuan (BBP) adalah mana-mana pertubuhan perbadanan yang diperbadankan mengikut peruntukan perundangan Persekutuan. Di mana menjadi pihak berkuasa awam atau agensi kerajaan Malaysia – peranan ini tertakluk di bawah Akta Badan-Badan Berkanun 1980 (Akta 240).
Adanya peranan BBP ia secara langsung membantu perkhidmatan pentadbiran negara lebih bergerak pantas selari dengan peranan yang disediakan pihak swasta – tanpa terikat dengan peraturan awam.
Buat pengetahuan umum, antara BBP di bawah pentadbiran negara adalah Lembaga Tabung Haji (TH), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Penggalak Pelancongan Malaysia (LPPM), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan beberapa senarai lain.