Artikel

Jumlah Hutang Keseluruhan Malaysia Akan Turun – Bermula 2027 

Biarpun ekonomi negara dilihat semakin memulih, di samping peratusan cukai yang dikutip lebih tinggi – terdapat pertikaian menyatakan tahap hutang negara masih lagi tinggi namun situasi itu bagaimanapun disebabkan keperluan negara untuk membayar tempoh matang hutang terdahulu.

Jelas Kementerian Ekonomi pada laman X, jumlah hutang tahunan perlulah mengambil kira kedudukan hutang terdahulu yang perlu dilunaskan negara. Buat pengetahuan umum hutang terdahulu yang perlu dibayar oleh kerajaan semasa adalah melibatkan RM78 bilion (2023), RM97 bilion (2024), RM89 bilion (2025) dan RM97 bilion (2026).

Berikutan jumlah ini, ia sekaligus memberi cerminan kadar hutang negara masih lagi tinggi. Sementara hutang baharu yang diambil kerajaan semasa pula telah semakin menurun. Setakat ini nilai hutang baru telah turun kepada RM86 bilion (2024) – di mana sebanyak RM14 bilion telah berjaya dibayar berbanding nilai hutang RM93 bilion pada 2023 dan RM100 bilion pada 2022.

Meskipun tahap hutang negara masih tinggi, negara optimis sekiranya mengekalkan momentum pembayaran hutang maka jumlah hutang keseluruhan dapat diturunkan kelak. Dijangka situasi tersebut dapat diperlihat bermula tahun 2027 ke atas.

Malah proses pengurangan hutang ini turut dicapai setelah jumlah hutang terdahulu yang matang semakin berkurangan.